Dec 27, 2011

Tinta Terakhir

Assalamualaikum wbt...
Bismillah...

Tinta terakhir. Itulah nama yang dicadangkan oleh Thalhah bagi post ini. Meskipun ini adalah kali pertama saya pernah menulis di blog KSOS, namun bagi menghormati permintaan beliau yang mempelawa dan membenarkan saya untuk menulis di sini, tidak mengapa...haha

Ini merupakan satu penghormatan untuk saya. Dalam 4 tahun saya bergelar pendebat BM SDAR, tidak keterlaluan jika saya katakan, saat melihat post Thalhah di FB untuk menulis tinta terakhir merupakan antara perkara yang boleh saya banggakan secara peribadi (maklumlah, juara Piala UIA 2011, siapa yang tidak kagum :D ).Mengambil kesempatan atas peluang yang diberi, saya memohon izin daripada anda semua untuk menulis sepuas dan sesuka hati dalam post tunggal saya ini...

2011 merupakan satu tahun yang penuh nostalgia bagi saya sebagai seorang pendebat. Permulaan yang agak baik, kita berjaya merangkul juara dalam Bahas AYSK dengan cemerlang. Dengan barisan rakan-rakan pendebat yang cemerlang, secara jujurnya saya menanam harapan untuk menjadikan 2011 sebagai tahun terbaik dalam karier debat saya di SDAR. Malangnya, kekalahan kami dalam peringkat separuh akhir di HKSBP mempunahkan harapan saya. Saya akui, hampir separuh gila juga saya akibat kekalahan tersebut. Sangat, amat tidak disangka-sangka. Sekaligus, harapan melihat ketiga-tiga pasukan HKSBP SDAR untuk mara ke final juga hilang begitu sahaja. Kemudian tiba pula Piala UIA, memberikan harapan baru untuk SDAR. Hati berkobar-kobar untuk turut serta, namun janji saya pada ibu, PPM adalah yang terakhir... mungkin kerana ibu tidak mahu saya terus kecewa seandainya kami turut kecundang UIA. Tapi lain pula yang jadi, SDAR berjuang dengan gagah, dan pulang dengan megah. UIA milik kita!!! Syukur kepada Allah...namun dalam kesyukuran itu, saya amat-amat terkilan kerana tidak dapat turut serta... tidak mengapa, mungkin inilah hikmah Tuhan dalam membalas usaha dan cita-cita kita selama ini...

Dengan itu, kisah debat di SDAR berakhir. Seandainya diwujudkan sebuah buku yang merekodkan sejarah debat SDAR, mungkin nama saya tercalon sebagai pendebat yang tecorot...haha. Ketawalah, dan teruslah ketawa mengenangkan kegagalan saya... namun saya memohon... sebagai seorang bekas pendebat,seorang bekas pelajar, dan seorang rakan... ambillah iktibar daripada kisah saya.

Saya menyertai debat kerana minat, dan kekaguman saya terhadap saudara Munir, F5 saya yang turut menjadi Kapten Blok Temenggung ketika itu. Dengan berbekalkan semangat semata-mata dan sifar pengalaman dalam bidang syarahan, saya bersama beberapa orang F1 menyertai pasukan debat ketika itu. Angka kami besar, lebih 10 sepuluh orang. Namun, satu persatu menarik diri. Ada yang hilang minat, ada yang mempunyai komitmen lain, ada yang akhirnya sedar mereka tidak dapat mewakili sekolah, dan terus keluar. Akhirnya, sehingga akhir tahun 2009, saya sahaja yang tinggal, keseorangan dan terpinga-pinga dalam menuntut ilmu perdebatan.Namun, saya berdebat untuk diri sendiri. Bukan untuk sesiapa pun. Malah, frasa 'berdebat untuk SDAR' itu hanya akan muncul dalam diri apabila menyertai pertandingan sahaja. Bukannya tidak sayangkan sekolah, tapi saya hanya inginkan kepuasan dalam perdebatan. Saya ingin menjadi seorang pendebat yang hebat... dikagumi dan dijadikan teladan, baik bagi junior SDAR dan dunia debat itu sendiri.

Ketika F4,saya terus bernaung dibawah tunjuk ajar Cikgu Muhammad. Saya sedikit kecewa, kerana tatkala pendebat F4 di SBP lain sudah mula menayang taring dan menunjukkan belang, saya pula terhegeh-hegeh menggalas beg dan mengangkat blazer rakan-rakan...haha. Menjadi simpanan ketika itu memerlukan motivasi yang tinggi dan telinga yang tebal. Maklumlah, daripada F2 sampai F4 asyik menjadi simpanan sahaja, memang banyaklah suara-suara sumbang yang mengejek dan menghina. Hati memang panas, namun pada masa yang sama, saya tetap tidak boleh mempertikaikan kebolehan Adzlan Qushaimi (3rd speaker 2010) yang sememangnya jauh lebih power daripada saya... haha. Akhirnya, gabungan 2 orang permata debat muda, seorang senior berbisa, dan seorang simpanan terlajak... SDAR menjadi Juara Piala Perdana Menteri 2010... Alhamdulillah...

Dalam kegagalan saya untuk menjadi seorang pendebat yang hebat, saya terharu kerana keluarga debat masih sanggup berkongsi ilmu dan terus memberi peluang. Cikgu Muhammad, yang tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu. Tiap kali saya membuat kesilapan, pasti cikgu akan memberikan nasihat dan tunjuk ajar. Walaupun adakalanya saya sedikit bebal dan tidak faham bahasa... cikgu tetap ajar saya... terima kasih CIKGU MUHAMMAD!!! Rakan-rakan pendebat, Luqman, Thalhah, Azfar Azhar,Syahmi, Azfar Adlan. Terima kasih kerana atas persahabatan dan tunjuk ajar anda semua ketika saya masih pendebat SDAR. Mulut laser Luqman, telatah Thalhah dan lawak-lawak gila Azfar akan terus menjadi kenangan indah untuk saya. Guru-guru pembimbing, Pn Shariah dan Pn Noraisyah, yang telah berkorban masa dan tenaga bagi membantu kami semua, bertungkus lumus bagi memperjuangkan keperluan pendebat-pendebat SDAR... Terima kasih cikgu... Kepada senior-senior, bekas pelajar. Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan kesanggupan untuk membantu kami di sini. Sesungguhnya tanpa anda semua, tidak mungkin Debat SDAR mampu melangkah sejauh ini.

Dan yang terakhir, khas buat junior-junior, pewaris legasi kegemilang KSOS. Saya bukanlah contoh pendebat yang terbaik. Janganlah jadikan rekod pencapaian sebagai target anda, jangan sekali-sekali! Namun, jadikanlah kisah saya sebagai pedoman. Ingat, semangat, cita-cita dan usaha sahaja tidak cukup, sebaliknya anda juga perlu bijak menggunakan peluang yang ada. Anda semua patut bersyukur kerana pada saat ini SDAR berada di kemuncak dunia debat SBP. Anda dinaungi oleh senior yang lengkap dalam skil perdebatan. SDAR sendiri mula memberi perhatian kepada anda, bagi meneruskan kejayaan Debat BM SDAR. Ambil peluang ini sebaiknya. Belajar dan koreklah ilmu secukupnya daripada mana-mana sumber di sekeliling anda (senior,video,jurulatih). Berlumbalah untuk mencari peluang untuk membuat mock debate, khususnya dengan sekolah-sekolah yang mantap. Harapan saya untuk anda semua, semoga lakaran sejarah debat anda di SDAR, merupakan sejarah yang lebih baik daripada sejarah saya... insyaallah.. :)

Akhir kata, terima kasih kerana memberikan saya peluang untuk mencoretkan panjang lebar di sini. Minta maaf seandainya terkasar bahasa dan tersilap kata. Saya mendoakan kejayaan anda semua, keluarga besar Debat BM SDAR, dalam kehidupan, dan dalam apa sahaja anda perjuangkan. Assalamualakum...

Hidup Satu Kisah,Debat Kisah Indah
Mustaqim.


No comments: