pix_gal0
Kuala Lumpur: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) dijangka menyalurkan pembiayaan lebih RM490 juta kepada usahawan industri kecil di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutif, Datuk Abdul Rahim Hassan, berkata jangkaan itu berdasarkan pertumbuhan positif permohonan pinjaman daripada usahawan baru dan bakal memulakan perniagaan untuk memperoleh modal dalam bentuk pembiayaan daripada agensi itu.

“Kami menjangkakan purata pembiayaan yang disalurkan kepada peminjam bagi baki tiga bulan terakhir adalah RM120 juta yang mana setakat ini terdapat kira-kira 9,000 permohonan menunggu kelulusan.

“Bagi tempoh hingga September 2012, TEKUN Nasional sudah meluluskan pinjaman kepada 26,805 peminjam berjumlah RM370 juta,” katanya kepada BH.

Setakat ini, TEKUN Nasional selaku agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang ditubuhkan sejak 1998 sudah menyalurkan pinjaman kepada 228,075 usahawan kecil membabitkan pinjaman RM2.28 bilion.

Daripada jumlah itu, RM34.5 juta disalurkan kepada 4,212 usahawan India menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, faktor utama iaitu mudah dan cepat dalam memproses permohonan, menjadikan TEKUN Nasional sebagai pilihan usahawan kecil mendapatkan pinjaman antara RM1,000 hingga RM50,000 bagi memulakan perniagaan berbanding agensi lain termasuk institusi perbankan.

Selain daripada memudahkan akses pembiayaan, katanya, agensi itu antara lain berfungsi sebagai penyedia maklumat keusahawanan dan peluang perniagaan; khidmat bimbingan dan sokongan kepada usahawan yang menyertai program TEKUN Nasional; mewujudkan komuniti usahawan berdaya usaha, inovatif dan progresif serta jaringan perniagaan; serta memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Agenda utama penubuhan TEKUN Nasional menyediakan pembiayaan bagi membantu usahawan kecil menjana pendapatan menerusi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelan pembayaran balik yang disediakan TEKUN Nasional juga fleksibel kerana peminjam boleh membayar semula pembiayaan itu bagi tempoh satu hingga lima tahun mengikut jumlah pinjaman.

Katanya, nisbah pembayaran balik pinjaman hingga 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan atau purata RM25 juta sebulan yang dicatatkan setakat ini menunjukkan perkembangan positif kepada agensi berkenaan.

“Tahun ini, kami memperoleh dana berbentuk pinjaman RM300 juta daripada kerajaan. Namun, setakat ini kami berjaya menyalurkan pembiayaan berjumlah RM370 juta. Lebihan RM70 juta diperoleh menerusi pembayaran balik peminjam sebelum disalurkan kepada pemohon baru,” katanya.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM120 juta kepada TEKUN Nasional, namun jumlah pinjaman yang disalurkan kepada usahawan kecil adalah RM311 juta.

Sejak 1998 hingga 2012, kerajaan sudah menyalurkan dana pinjaman sebanyak RM1.5 bilion kepada TEKUN Nasional, berbanding jumlah pembiayaan yang disalurkan agensi itu kepada usahawan kecil berjumlah RM2.28 bilion, yang mana RM780 juta adalah daripada dana bayaran balik peminjam.

Dalam Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan RM350 juta termasuk RM50 juta untuk masyarakat India kepada TEKUN Nasional.


 © Berita Harian (M) Bhd.