Jan 11, 2013

Himpunan Shamsidar



KUALA LUMPUR : -Penganjuran Himpunan Shamsidar pada 12 Januari ini yang bertujuan memastikan isteri Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali, Shamsidar Taharin tidak menjadi saksi di mahkamah, dilihat sebagai gimik politik murahan pakatan pembangkang.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, himpunan tersebut hanya sekadar rancangan pembangkang untuk terus mengelirukan rakyat daripada mengetahui kebenaran.
"Adalah menjadi satu kemestian bagi pembangkang untuk mempergunakan dan menipu rakyat dengan mengadakan demonstrasi jalanan dari semasa ke semasa yang kononnya proses demokrasi.
"Himpunan Shamsidar adalah cubaan untuk mengelirukan proses undang-undang yang berlangsung di mahkamah dan mengekang umum daripada mengetahui perkara sebenar," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan yang mendakwa pembangkang merancang mengadakan Himpunan Shamsida beberapa hari sebelum perbicaraan kes saman fitnah melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Nallakaruppan serta syarikat penerbitan, Utusan Melayu (M) Bhd., pada 26 Mac lalu ekoran petikan ringkas yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Mac lalu di muka hadapan bertajuk Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla dan berita penuh di muka surat enam bertajuk Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.

Kelmarin, Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan sebahagian besar pembelaan Nallakaruppan serta Utusan Melayu dalam kes saman tersebut dikekalkan.
Nallakaruppan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Mei lalu menyenaraikan kira-kira 10 orang termasuk Shamsidar bagi membuktikan dakwaannya berhubung seksualiti bekas rakan baiknya itu.

Jelas Azwanddin, himpunan tersebut juga bertujuan memastikan Shamsidar tidak naik ke kandang saksi untuk memberi sebarang keterangan yang tidak menyebelahi pembangkang.

"Apa istimewanya dia sehingga tidak perlu tampil memberi keterangan? Setiap individu akan ke mahkamah untuk membuktikan mereka tidak bersalah.

"Kami ingin tahu, mengapa Shamsidar perlu takut menghadapi perbicaraan ini? Berani kerana benar, jika tidak salah, buktikan sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS),Hamidzun Khairuddin melahirkan rasa hairan dengan motif himpunan yang akan diadakan.

"Saya rasa amat pelik sekali, apa objektif sebenar penganjuran demonstrasi ini.

"Shamsidar harus berani naik ke mahkamah demi membersihkan nama dia dan keluarganya. Jangan cuba lari daripada undang-undang dengan sengaja mengadakan demonstrasi murahan," tegasnya.

1 comment:

Noorizzah Afifah Azhar. :) said...

Assalamualaikum wbt.. mohon bertanya, macam mana nak hubungi pendebat saudara Luqman Sufyan? beliau ada page atau apa-apa tak? nak minta ilmu.. :) boleh beritahu saya? atau letakkan pada blog saya.. http://izzah-96.blogspot.com/