Dec 14, 2012

Definisi, Interpretasi dan Persepsi..

1. Sebagai seorang pendebat atau pembahas, baik di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi, banyak istilah dan perkataan yang sering diguna pakai berulangkali dalam setiap pertandingan serta kejohanan. Contohnya, istilah "diskriminasi", "kebenaran", "keadilan", "kesaksamaan", "sama rata", "hak asasi", "demokrasi" dan banyak lagi.

2. Namun begitu, terdapat segelintir pembahas yang masih gagal mengambil peluang memanipulasikan istilah-istilah tersebut dengan sebaik mungkin. Ada juga sebilangan pendebat yang berpendapat erti dan makna frasa-frasa ini sudah ditetapkan sejak azali, tidak boleh ditukar ganti. 

3. Apabila usul yang ingin diperdebatkan adalah berkaitan isu kuota, peratusan pekerja dalam sesebuah institusi mengikut jantina, sistem politik atau jenayah antarabangsa, para pembahas dengan mudah menghamburkan istilah-istilah ini tanpa menyedari bahawa isu yang dibawa tidak langsung mempunyai kaitan dengan istilah tersebut.

4. Contohnya, sewaktu membahaskan usul "Dewan Ini Akan Menetapkan Kuota 40% Guru Lelaki", hampir kesemua pembangkang di setiap sidang akan membawa isu diskriminasi, penindasan dan ketidakadilan terhadap guru yang berjantina perempuan. Isu-isu ini terlalu lemah dan remeh untuk dibawa ke dalam dewan.

5. Soalan pertama, apa itu diskriminasi? Apa itu adil? Apa itu penindasan? Tidak pernah ada satu kitab, sumber rujukan atau buku akademik pun yang pernah menerangkan definisi bagi frasa-frasa ini secara jelas.  Maka, tidak perlulah kerajaan menerima pertikaian bahawa penetapan 40% guru lelaki akan mewujudkan penindasan kepada guru wanita.

6. Rata-rata kerajaan di setiap sidang menjawab isu ini dengan mengatakan guru lelaki juga mempunyai hak. Guru lelaki juga tidak boleh ditindas. Akhirnya, tidak ada satu pihak pun yang dapat memutuskan hak siapa yang perlu dijaga, jantina mana yang tidak boleh ditindas.

7. Kerajaan perlu dengan mudah dan berani menyatakan bahawa tidak ada pihak pun yang tertindas. Tidak ada guru wanita yang perlu dipecat atau dibuang. Mengurangkan peratusan tidak bermakna kuantiti perlu dikurangkan. 

8. Contohnya, terdapat seorang guru lelaki dan seorang guru perempuan dalam satu bilik. Maka, peratusan guru di dalam bilik tersebut ialah 50% lelaki dan 50% perempuan. Seandainya, seorang lagi guru lelaki ditambah ke dalam bilik tersebut, peratusan guru lelaki sudah menjadi 66.66 % dan guru perempuan ialah 33.33%. Peratusan berkurang, tetapi kuantiti tidak. Tidak wujud isu penindasan.

9. Pembangkang yang bijak tidak akan berhujah mengenai penindasan kerana sekiranya 60 % guru wanita sudah dianggap penindasan, bagaimana pula 40% guru lelaki yang mempunyai peratusan yang lebih rendah? Andai formula "semakin rendah peratusan, semakin tinggi penindasan" digunakan, sudah tentu guru lelaki menjadi pihak yang paling tertindas.

10. Isu yang perlu dimanipulasi adalah perihal kualiti. Tuntutan pendidikan tidak boleh dinilai berdasarkan keperluan mengikut jantina, tetapi keperluan mengikut subjek. Terdapat guru lelaki yang tidak boleh menjalankan kerja-kerja fizikal yang berat, dan wujud juga guru wanita yang tidak boleh menjalankan aktiviti kewanitaan. Begitu juga, ada guru lelaki yang mempunyai ciri-ciri kewanitaan dan guru wanita yang sedikit keras atau bersifat kelakian. Penyelesaiannya, berbaliklah kepada sistem meritokrasi. 

11. Saya tertarik dengan kenyataan seorang pembahas yang menyatakan bahawa apabila kita mengklasifikasikan guru lelaki kebiasaannya mempunyai kekuatan fizikal, guru wanita kebiasaannya lembut sedikit, maka, inilah yang dinamakan sebagai diskriminasi. Sekali lagi, kesilapan dalam mentafsir maksud istilah "diskriminasi".

12. Tidak ada kaitan yang jelas antara klasifikasi jantina dengan diskriminasi. Penilaian tersebut cuma dilakukan berdasarkan kebiasaan. Sebagaimana kita menganggap pramugari mesti cantik, orang bersukan mesti sihat dan pemimpin perlu kemas. Memang wujud pramugari yang tua dan tidak cantik, orang bersukan yang menghidap diabetes dan pemimpin yang selekeh. Inilah yang dinamakan sebagai "kebiasaan". Adakah menyebut ayat-ayat tersebut membuktikan bahawa telah berlaku diskriminasi masyarakat mengikut rupa?

13. Dalam perbahasan mengenai isu ataupun usul yang lain, pembahas juga perlu sentiasa beringat bahawa tidak semua diskriminasi itu buruk. Hak asasi dan demokrasi pula tidak sesuai dalam semua perkara. 

14. Seandainya usul tertentu disokong kerana ingin memartabatkan demokrasi, bagaimana pula sekiranya dalam konteks usul, demokrasi akan mendatangkan keburukan. Maka, pihak lawan tidak perlu menafikan hujah kerajaan. Akui sahaja memang usul akan membantu memartabatkan demokrasi, tetapi, demokrasi dalam konteks usul akan mendatangkan keburukan. Kesimpulannya, usul mendatangkan keburukan.

15. Sekian sahaja perkongsian, maaf atas keterlanjuran. Terima Kasih.