Jan 6, 2010

Salam Tahun Baru... Azam baru??

Alhamdulillah, nampaknya masih ada jua kesempatan untuk kita semua melangkah ke tahun baru 2010. Semoga tahun ini akan dicoretkan dengan lakaran kehidupan yang indah-indah belaka seperti mana kita semua harapkan. Namun, dalam harapan itu juga, kita mestilah bersedia dengan segala kemungkinan buruk yang bakal menimpa, kerana langit tidak akan selalunya cerah, langit tak akan selalunya berbintang. Apatah lagi kehidupan yang banyak cabaran dan rintangan ini…

Setiap kali kita melangkah ke tahun baru, pastinya ramai yang akan mempertikaikan azam baru. Sehinggakan penulis ada terbaca sebuah artikel mengenai keperluan azam terutama bagi pelajar khasnya dan masyarakat umum amnya. Katanya, mengapa kita perlu berazam pada awal tahun? Sedangkan kalau nak berubah, bila-bila masa sahaja boleh berubah. Saya kadang-kadang terfikir, kalau begitulahlah, mengapa setiap tahun ada sahaja program bulan membaca, minggu perpustakaan, kempen membaca dan sebagainya? Sedangkan kalau nak membaca, pergi ke perpustakaan dan sebagainya, bila-bila masa sahaja pun kita boleh lakukan. Sebenarnya, tujuan azam pada tahun baru ini adalah untuk kita memudahkan penilaian kita sendiri terhadap apa yang kita rancangkan. Sama juga seperti rancangan tahunan. Mengapa awal-awal tahun hendak buat rancangan baru? Supaya memudahkan penilaian dan pengurusan sepanjang tahun dan kita nilai pada tahun hadapannya, dengan membandingbezakan tahun sebelumnya, apakah berjaya ataupun tidak. Walaubagaimanapun, saya tidak pernah menafikan bahawa kita perlu berubah tidak kira masa. Cuma, apabila kita memilih tahun baru untuk menetapkan azam, ia akan menjadi lebih mudah untuk kita kenali diri kita dengan lebih mendalam. Kesimpulannya, lebih baiklah kita berazam walaupun di awal tahun, daripada tiada azam. Dan lebih baik daripada berazam ke arah keburukan.

Baiklah. Bagi kami pula, sudah pastinya kami mengharapkan yang terbaik buat pasukan ini. Sudah pastinya untuk menambah baikkan pencapaian dalam debat sama ada yang terbuka mahupun dalam PPM. Mungkin tahun ini akan ada banyak pertandingan yang kami akan masuk dan harapan selain daripada menjadi juara, kami juga mensasarkan gelaran 10 pendebat terbaik keseluruhan. Namun, sebaik mana pun perancangan kami, tetap juga perancangan Allah yang terbaik. Apa-apa sahajapun hasilnya nanti, kami tetap akan terima dengan hati yang bersyukur.

Selain itu juga, dalam kita bercerita tentang azam ini, kami juga ingin menyampaikan sekalung penghargaan buat mantan pengetua cemerlang kami, Tn Hj Azam bin Md Atan, yang telah pun ditukarkan ke Sekolah Menengah Sains Rembau, dan digantikan dengan Tn Hj. Zakaria sebagai pengetua baru SDAR. Buat Tn Hj Azam, terima kasih daun keladi, dan ingatlah, sumbangan tuan dalam pasukan debat SDAR sangat tidak terhingga. Tuanlah yang membuka ruang untuk Cikgu Muhammad berkhidmat di SDAR lantas membawa pasukan ini dengan apa yang telah kami miliki sehingga kini. Tuan jugalah yang meletakkan debat sebagai salah satu niche area dalam kluster kecemerlangan yang miliki. Tuan jugalah yang berusaha untuk memantapkan teknik berkomunikasi dengan menggalakkan pelajar SDAR untuk menceburkan diri dalam debat, pidato dan sebagainya. Tuan jugalah yang sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk kami berjuang, walaupun tatkala menghadapi kebuntuan dan kegagalan.

TERIMA KASIH CIKGU… CIKGU, DULU, KINI, dan SELAMANYA…

<Selamat Tahun Baru 2010>>